Selasa, Februari 10, 2009

Palestine Issue: Comment on Chedet.cc

http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/02/palestine.html

Assalamualaykum Yg Bhg Tun,
As you point out, the dilemma we are facing in Palestine are not as simple as ‘jihad’ and ‘syahid’. However to deny the war over there as not Jihad and the dead are not syahid are also not an options as in their cases that is the most legitimate reason for Jihad and Syahid. Infact these are their only motivations to keep struggling. So there are no reasons for us to deny these privileges for them. And for me that is the plain truth for us to accept.
As for the ‘ghazwah al fikr’ or the psychological war, the strategies to win the heart of the world should not be confused and denying the jihad in order to prove this particular issue is a humanitarian crisis vs holy war. As it is for me, the proof clearly indicated the crisis need not to be proved further and this lead to legitimate holy war by muslims there. The muslims are also humans. It is a clear cut cause & impact.
I strongly believed, as a fellow muslim and in human brotherhood spirit, the call for jihad can be justify as long as we used the tools exist to us today (media.. media and media) as good as the Jews used it for their benefits (the holocaust - how many film in this genre?). So as in this matter, the jihad sentiment should not be oppressed, but the most important are to change the view of the world to this the issue as a holocaust, as bad as Hitler’s oppression, or even worst.

Sabtu, Januari 24, 2009

Komen Chedet.CC : Bebaskan dari Politik Kepartian!

Komen untuk Chedet.cc di : http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/01/pilihanraya-kecil-kuala-tereng.html

Assalamualaikum Yg Bhg Ayahanda Tun,

Saya sungguh tertarik dengan prinsip Tun, dah sampai masanya untuk ahli politik Malaysia tidak lagi terikat dengan politik 'kepartian' tetapi perlu menjurus kearah politik 'nilai' dan 'prinsip'. Kita sendiri dapat lihat betapa tokoh-tokoh politik yang berkiblatkan kepartian ini seringkali terpaksa menelan ludah masing-masing kerana prinsip yang mereka pegang tidak cocok dengan kepala parti.
Dan mana-mana ahli politik yang lain, yang berani bersuara menentang 'titah' kepala parti, pelbagai tindakan dan tekanan dikenakan. Baik dari UMNO, PAS, DAP, PKR, MCA, MIC dan boleh kata semuanya dari sebesar-besar parti sehingga sekecik keciknya.Rakyat dah mula meluat dengan permainan politik kepartian, sebab itu mereka dah tak segan silu mengutuk para pimpinan mereka sendiri, bibit kematangan politik sudah mula menampakkan diri di Malaysia. Prinsip yang benar itu benar dan yang salah itu salah telah mula diterima ramai dengan kesedaran yang wajar.Namun demikian, dengan aliran prinsip dan pemikiran yang pelbagai, satu set pendidikan untuk mencorak gaya politik baru ini amat perlu, kerana kita tidak mahu, gaya politik baru ini diterjemah kepada perbuatan yang ektrem seperti yang berlaku di Thailand.Jadi, saya minta dengan pengalaman dan kredibiliti Tun untuk melakar sejarah Malaysia yang baru dengan menjuarai arena politik berdasarkan nilai dan prinsip kebenaran yang Tun sendiri telah ketengahkan.

Sekian dari anak Baling, Kedah yang dulunya busuk sekerap dan berkudis..
Abi Qalam.

Jumaat, Oktober 10, 2008

Apa alternatif Anda (II) ?

Demokrasi, dalam kecelaruan politik negara semua orang berpikir berdasarkan demokrasi. Dengan usaha dan pemikiran untuk melakukan apa sahaja demi mendapat undi yang lebih, biarpun terpaksa menipu, rasuah, fitnah, berpecah belah, termasuk bunuh membunuh nyawa mahupun karier politik. Lawan dan teman bersilih ganti demi survival politik masing-masing. Boleh kata, tiada yang bersih dari busuknya palitan lumpur kontraversi dek sistem demokrasi yang kita pilih. Benarkah hanya sistem demokrasi dapat membawa kemakmuran??

Betulkah? Berapa banyak kah ketamadunan yang berjaya dihasilkan oleh sejarah berdasarkan demokrasi? Berapa banyak pulakah ketamadunan yang dibangunkan atas sistem feudalisme, diktatorisme, communisme, anarkisme, sosialisme, teokrasi, monarki, republic, mahupun khilafat telah berjaya dibangunkan dan kebal daripada manipulasi sistem politik yang membawa kepada keruntuhan tamadun terbabit? Tiada!

Lebih-lebih menyedihkan, apabila sebuah negara yang aman bertukar menjadi huru-hara akibat usaha kononnya untuk mendemokrasikan oleh beberapa kuasa besar dunia. Dan berapa banyak pula negara yang dikucar kacirkan oleh pemimpin politiknya sendiri dek keinginan nafsunya untuk berkuasa..

Sistem hanyalah sandaran set-set prinsip untuk pemerintahan, dan dipenuhi ruang-ruang yang cukup luas untuk sesiapa sahaja yang busuk hati untuk merosakkan sistem itu ketahap yang paling buruk. Jadi, apa pilihan anda??

Khamis, Oktober 09, 2008

Apa alternatif Anda ?

Trend politik sekarang begitu dahsyat! Baik didalam kerajaan mahupun pembangkang, polemik dalaman parti-parti menjerut pemimpin-pemimpin yang tertinggi!

Anda pun bergelumang juga kah? Mengapa perlunya anda mengikut arus, dengan sentimen politik dan isu yang berubah-ubah sekian kalinya. Tidak bosankah mengeronjeng orang itu dan orang ini dan menjilat orang itu dan orang ini?

Terasa begitu lucu sekali 'ketotokan' manusia, apabila aqalnya membenci sesuatu perkara seperti semua apa yang berkait dengan perkara tersebut menjadi jijik dan busuk dan tiada sehabuk pun disukai. Dan apabila sesorang itu disanjung sebagai hero, semuanya menjadi elok dan cantik, sehingga kentutnya pun boleh menjadi parfume yang mewangi. Karektor manusia taksub seperti inilah yang menjatuhkan 'kecerdikan' manusia. Sehingga mampu dicocok hidung dan ditonjeng kekiri dan kekanan diatas dasar perjuangan melawan musuh pemegang pedati. Tetapi korbannya tetap lembu-lembu inilah?

Apa alternatif kita? Hendak jadi lembukah? Hendak jadi insankah? bak kata Nabil.. Lu pikirlah sendiri!

Rabu, Oktober 08, 2008

Anwar telah berjaya?

Sungguh?? DS Anwar Ibrahim seorang yang sangat berkarisma dan mempunyai impak tersendiri terhadap persekitaran politik dan sosial Malaysia, baik ketika menjadi pepimpin pelajar, pemimpin ABIM, Pak Menteri, Pak Timbalan Perdana Menteri, Pak Pembangkang.. Jasanya juga amat banyak pada mereka yang cinta dan kasih padanya, baik ketika demonstrasi hal murahnya harga getah di Baling, kesedaran tentang aurat, perihal gerakan islam ala ikhwan ketika menjadi pemimpin ABIM dan pelajar, perihal melayu baku, masyarakat madani, hinggakan pemberian RM 5000 melalui ASB kepada orang-orang miskin ketika menjadi pak menteri, semuanya menjadi tanda akan hebatnya insan bernama DS Anwar ini, kata mereka!

Dan pada sesetengahnya, inilah orangnya yang telah berjaya dan satu-satunya manusia yang akan berjaya untuk memimpin Malaysia. Kita dapat lihat sentimen ini melampaui 'kenegrian', 'kesukuan', 'keagamaan' dan 'perkauman'.

Secara dasarnya, saya bersetuju bahawa DS Anwar Ibrahim merupakan seorang (atau satu-satunya) pemimpin yang 'berjaya menyatukan' beberapa parti barisan pembangkang bagi menggapai satu 'tujuan umum', ini merupakan satu kejayaan besar didalam konteks politik negara, memandangkan perhubungan diantara parti-parti pembangkang yang diibarat 'ibarat kucing dengan anjing' selama ini. Kehadiran DS Anwar melalui wadah PKR membawa angin neutral yang men'yepoi' wajah-wajah DAP dan PAS sehingga mampu tersenyum, lagi memberi pengharapan baru.

Sungguhpun begitu, kejayaan sebegini tidak bersifat mutlak dan hanya pemula langkah bagi dilema yang lebih besar dan pokok yang cuba disembunyikan 'tangan-tangan yang berkepentingan'. Seharusnya, kita perlu segera sedar disebalik 'gula-gula' negara berkebajikan, apa pula harga yang kita terpaksa 'bayar' sebagai rakyat demi 'janji-janji' diantara PKR-DAP-PAS?

Sebaiknya, kita mengkaji dari sudut ideologi dan prinsip yang dibawa oleh PKR-DAP-PAS, dan menilai akan potensi Pakatan memerintah negara. Semua sedar angin yang dibawa oleh PKR yang bercampur baur ideologinya, namun lebih dekat dengan DAP dari segi prinsip pemerintahan, namun memandangkan ketokohan DS Anwar Ibrahim yang pernah menerajui 'harakah islamiyyah', sedikit sebanyak 'erdogan' didalam PAS yang rasa terhutang budi lagi mengharap dan kasih cinta padanya akan mentala perjuangan masing-masing supaya selari dengan keinginan politik DS Anwar. Sungguhpun demikian, apakah kerajaan yang dibina diatas 'tujuan umum' yang sama sahaja mampu bertahan dan menjadi stabil?

Pandangan saya berat menyatakan, usaha menyembunyikan perbezaan prinsip dalam PKR-DAP-PAS merupakan satu usaha jangka pendek bagi mengutamakan tujuan mem'PM'kan Anwar, pun begitu usaha ini tidak dikongsi secara ghairah bagi semua pihak, terutama dikalangan 'konservative' didalam PAS, yang jelas sedang sedang 'diperangi' bermati-matian oleh puak-puak erdogan.

Kini, pada perkiraan saya, DS Anwar merupakan seorang yang sangat berjaya didalam beberapa hal tertentu;

  • Beliau berjaya, dalam politik 'membersamakan' kepelbagaian ideologi berbeza untuk mencapai satu tujuan, didalam konteks ini ialah untuk menjatuhkan BN. Ramai yang berkongsi sentimen untuk menjatuh BN, namun, tidak ramai yang mempunyai alternatif sekukuh kerajaan BN, jadi walaupun apabila kerajaan BN berjaya dijatuhkan, ia hanya akan mewujudkan 'power vacumn', atau setidak-tidaknya kerajaan campuran yang tidak stabil.

  • Beliau berjaya, memberi keberanian kepada minoriti kaum mahupun agama untuk melanggar taboo-taboo yang tidak tertulis. Kejayaan ini, sungguhpun kelihatan positif, namun membangkitkan semangat kebangsaan bagi setiap kaum di Malaysia, dan membawa kepada 'self centered attitude', langsung boleh membawa kepada ketegangan jika dimanipulasi oleh kerajaan dan pembangkang melalui media.
  • Beliau berjaya, memangkin perubahan didalam dasar-dasar kerajaan untuk lebih bersifat dan bersikap nasional. Secara positifnya, kerajaan BN tertekan dan akur dengan kehendak perubahan, cuma pelaksanaan yang tergopoh-gapah memberikan 'impression' bahawa kerajaan bersikap populist, memberikan kelebihan buat Anwar.
  • Beliau berjaya, memberikan 'ancaman' dan saingan kepada parti-parti perkauman langsung menjadikan mereka mengutamakan kehendak kaum sendiri dek takut kehilangan sokongan. Langsung ini melemahkan BN secara langsung dan PAS dan DAP secara tidak langsung.
  • Beliau berjaya, mewujudkan golongan yang memberontak, daripada nilai-nilai klasik. Ini menjadikan PAS dan DAP kehilangan golongan pertengahan mereka yang lebih tertarik dengan idealistik DS Anwar.

  • Beliau berjaya, dalam membentuk golongan yang taksub menyintainya, dan bergantung harap hanya kepadanya untuk menjatuhkan BN dan mengharapkannya memimpin negara kepada kemuncak kemakmuran. Ini menjamin kesinambungan dinasti politik keluarganya, sudah tentu Nurul Izzah bakal menjadi PM Wanita pertama Malaysia akan berjaya dicapai, dan menjadi seperti lagenda Benazir Bhutto.

  • Beliau berjaya, dalam sudut tertentu membuatkan wujud 2 pihak bertelagah didalam satu satu parti, sehinggakan ahli parti itu mengutamakan kehendak DS Anwar berbanding kehendak pemimpin utama parti itu sendiri. Ini adalah kesan negatif yang paling besar sekali, secara langsung menggoncang kestabilan sesebuah parti politik dan mewujudkan satu sayap asing dengan set-set matlamat tersendiri. Ramai yang menjangka berlaku perselisihan ketara sehingga tahap berpecah, namun, apa yang jelas kedua-dua kem ini akan berselisih selagi DS Anwar menjadi 'wali' kepada golongan erdogan.
Memang terdapat unsur-unsur positif berkenaan dengan angin perubahan yang dibawa oleh DS Anwar, sesiapa pun tidak dapat menafikannya. Namun, kita perlu melihat beberapa langkah kehadapan dengan sentimen yang ada ketika ini untuk mengkaji apakah 'risiko' yang bakal ditanggung oleh rakyat dan negara disebalik beberapa kejayaan yang sudah kelihatan.

Arus politik 'baru' ini memberikan 'one-way portal' kepada pendukungnya, antara contoh situasi yang boleh berlaku adalah perletakkan 'ground stone' terhadap perubahan pada Perlembagaan berkenaan dengan keistimewaan Melayu dan daulah Islam. Ini merupakan fasa kritikal kerana kesannya 'irreversible', jika dimasuki secara gopoh, tanpa memikirkan secara tulus akan kebolehan rakyat untuk menerima kesannya, maka political fragility akan membawa negara ini kekancah kerajaan campuran yang bertukar-tukar. Sudah tentunya, perancangan dan perkembangan ekonomi Malaysia yang tidak sekukuh Jepun akan menerima kesan segera serta jangka panjang. Boleh diumpamakan perkara ini seperti kestabilan dizaman zalim Saddam dan kekecohan dizaman 'adil' Amerika di Iraq.

Selain itu, berdasarkan 'ketunggalan' karisma yang hanya menjuruskan tumpuan kepada DS Anwar semata-mata menjadikan 'ketaksuban' kepada pemimpin sebagai asas penyatuan diantara parti-parti berlainan ideologi, membawa kepada kemungkinan paling tinggi untuk 'marriage of convinence' ini berderai apabila berlaku persilisihan prinsip atau ketika kehilangan tokoh penyatuan itu, paling tidak, akan mewujudkan dinasti pemerintahan politik seperti yang telah berlaku didalam BN, yang sudah tentunya menyuburkan kronisme dan nepotisme.

Cuma, rasanya akan berlaku kekecewaan besar-besaran dikalangan 'erdogan' dari PAS yang mendewakan DS Anwar dan meletakkan harapan telalu besar kepada beliau. Ini jelas dengan tindak-tanduk DS Anwar yang lebih akur kepada tekanan puak sosialis dan liberal didalam kelompok PKR untuk lebih bersikap 'terbuka' dan sekular dan telah terbukti didalam kes Bar Council vs MP PKR Zulkifli Nordin. Diatas dasar inilah, PKR berupaya mendapat sokongan DAP, dan hanya dengan karisma Anwar dan jasanya terhadap haraki, sokongan daripada PAS berjaya diraih.

Sungguhpun demikian, ini adalah merupakan satu pandangan yang terselit dengan 'assumptions' dan sedikit nujuman. Sudah tentu tidak boleh disandarkan sebagai fakta, cuma boleh dijadikan pandangan ini sebagai satu usaha untuk berhati-hati dan agar tidak tertipu dengan kepelbagaian wajah politik Malaysia.

Rabu, Julai 16, 2008

Political Stunt

Salam,

Semua dah dengar ke debat semalam? Dah puas hati dengan political stunt dari 2 tokoh politik Malaysia?

Bravo.. sepatutnya lebih banyak political stunt sebegini dibuat selepas ini.

Isnin, Mei 12, 2008

Respon pada chedet.com > kegagalan barisan nasional

Sila baca http://www.chedet.com/2008/05/kegagalan-barisan-nasional.html

Saya rasa inilah dalil dan rumusan yang paling komprehensif saya pernah baca. Dan saya AMAT bersetuju dengan pemerintahan yang lemah yang PAK LAH tunjukkan, memberi kelebihan kepada 'vocal minority' telah bersuara melalui BLOG dan 'silent majority' yang bertukar angin melalui UNDI.

Namun, apa yang 'menarik', the 'vocal minority' ini bukanlah sebenarnya mewakili pendapat rakyat 'silent majority'(sekurang-kurangnya pada pendapat saya), kita dapat lihat di blog RPK, setiap kali artikel yang pro islam mahupun pro melayu disiarkan, akan adalah komen-komen negatif dihamburkan yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dan agama.

Selain itu, dengan kelemahan pemerintahan PAK LAH, apa yang terlebih jelas ialah perpecahan dan ketidak setujuan dikalangan komponen BN semakin melebar, formula 'adhesive' yang YA Bhg Tun semai sepanjang 22 tahun mungkin dan 'crack' dan hanya Allah yang tahu boleh 'repair' atau tidak. Ini lagi bahaya daripada isu-isu Projek Mega, Kroni dan lain-lain.
Pihak pembangkang (rasanya dari MP BN pun ada) pula sekarang begitu bersemangat ingin mendapat sokongan rakyat, tanpa menyedari yang tindakan tidak berakal menyoal soal-soal SUPER SENSITIF seperti hak melayu dan islam sebenarnya membuatkan 'the silent majority' akan buat TAUFAN NARGIS pula selepas TSUNAMI PRU12.

Apa yang kami mahu?Kami mahu satu kerajaan yang adil, saksama, berpendirian tegas, ikhlas, bervisi, bebas politik wang, mempunyai kemahiran memimpin, bersih, kuat kerja, dan tidak pandang rakyat sebelah mata. Jika ahli politik sekarang, harus diberi perhatian kepada Mustafa Mohamed, seorang pemimpin yang berpotensi.

Khamis, April 24, 2008

Musang Berbulu Ayam

Rata-rata rakyat umum memahami dan sesetengahnya menerima dengan rela apabila ahli-ahli politik bersikap 'double standard'. Inilah kancah politik, hari ini kawan, esok bermusuh, kelmarin setuju sekarang membangkang, selepas itu sokong balik. Inilah mentaliti politik yang membelakangkan prinsip perjuangan berasaskan kebenaran.

Mengapa perlunya bertukar pandangan? Apakah yang membezakan diantara lompat sikatak atau belalang atau lalang dengan ahli prinsip?


Sudah tentu didalam proses belajar melalui pengalaman, tidak dapat tidak untuk kita menukar prinsip yang berat kita dukung dan anuti apabila datang suatu ilmu dan cahaya dihati yang direstui oleh minda yang sihat. Ini adalah satu proses terpuji yang menandakan wujudnya perkembangan emosi dan intelektual bagi seseorang. Sebagai contoh, sesetengahnya bermula dari PAS, kemudian dengan ilmunya merasakan UMNO adalah terbaik dan kemudiannya bertukar kepada PKR setelah masak dengan permainan UMNO dan kembali kepada PAS seterusnya dengan memikirkan limit ideologi yang dibawa membuat keputusan untuk membebaskan diri dari politik kepartian kepada politik kebenaran. Ini adalah sebahagian daripada proses kematangan minda dan sikap berpolitik setiap individu. Faktor yang mempengaruhinya mungkin berbeza membawa kepada penghijrahan yang sama, tetapi mungkin juga faktor yang sama tetapi membawa kepada penghijrahan yang kepada kem yang berbeza.


Namun, apa yang lebih jelas sekarang adalah sikap kebanyakan ahli-ahli politik pemerintah mahupun pembangkang yang bersikap loyalist dan populist yang melampau.


Dikalangan ahli politik, sikap musang berbulu ayam adalah lumrah, demi menarik undi, sokongan mahupun jawatan ( yang jelas untuk kepentingan peribadi), apa sahaja tindakan, kenyataan mahupun strategi yang di lakukan mestilah dengan percaturan bijak iaitu 'do whatever it takes to guarantee my (or my ideas) survival'. Antara taktik popular ialah mengikut mood dan kecenderungan 'vocal factor' ( faham popular rakyat yang menyuarakan pandangan).

Antara taktik dan strategi yang lain ialah menjadi loyalist kepada 'kepala tahi' bak kata Ayahanda Shahnon Ahmad.

Kedua-dua strategi dan taktik ini, boleh dengan jelas dilihat dipihak pemerintah dan pembangkang. yakinlah, dengan wujudnya krisis post-PRU12, satu lembaran baru politik tanahair, dimana baik pemerintah dan pembangkang perlu sedar, yang faham populist dan loyalist bukanlah penyelamat kepada karier politik kalian.

Ayuh Rakyat yang DIAM! Kamu harus bersuara. Jangan biarkan musang-musang politik menyambar dan meragut hak dan kebebasan yang dibeli dengan keringat, airmata dan darah. Bumi ini bumi merdeka, tanah ini tanah pusaka. Warisnya insan beradab, bukan si musang biadap.

Biar siapapun mereka yang memerintah, dengar kamu ingatlah.. Anak bumi Ibunda yang diam tidak selamanya diam. Kami lihat, kami dengar.. kami fikir dan tenung. Jika kamu berasa kamu berkuasa.. INGAT, kami yang memberikan kuasa! Dan cuaca tak selalunya cerah, si musang!

Rabu, April 23, 2008

Konsep kebenaran dalam politik

Sungguh menarik jika membincangkan konsep kebenaran dari sudut politik. Sesungguhnya manipulasi politik terbukti membawa karektor manusia dan kemanusiaan menghayati bentuk 'kebenaran' jauh daripada keikhlasan. Contoh yang terbesar apabila didalam sistem demokrasi sendiri. Sesungguhnya didalam demokrasi adalah rakyat yang memimpin rakyat, tetapi realitikah definasi ini?

Jika x=y sudah tentu nilai x-z=y-z. Namun sudah tentu logik matematik ini tidak boleh digunakan dalam berpolitik. Perkataan rakyat sama sekali tidak boleh digunakan secara berganti(interchangeably) dengan perkataan kerajaan, sungguhpun yang menjadi kerajaan itu adalah Pakatan Rakyat, apatah lagi Barisan Nasional. Bahkan perkataan kerajaan dengan parti politik itu juga mewakili 2 institusi berbeza biarpun parti politik itu yang memerintah. Didalam realiti tanah Ibunda kita ini merupakan sesuatu yang telah dimomokkan sebagai kebenaran. Mata penulis amat perit apabila terbaca papantanda projek "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional", yang jika dihujah menurut maksud mungkin kebenaran itu dapat diterima, tetapi kebenaran itu hanya bersifat politik, bukan secara hakikat. Ini secara terangan mencabul minda dan konsep kebenaran itu. Istilah kerajaan patut dipulangkan kuasanya kepada rakyat, bukan sekadar dinisbahkan kepartian yang memerintah.

Bahkan bukan setakat itu sahaja, kerana kebenaran itu bukanlah tertakluk kepada populariti, hukumnya sama jua, jika terdapat papantanda "Satu Lagi Projek Kerajaan Pas" atau PKR atau DAP. Ini merupakan tetap pencabulan yang jelas. Tidak perlu perasaan 'bias' dalam perkara ini. Inilah prinsip-prinsip yang perlu dipegang bagi pendukung kebenaran.

Dari segi aspek politik yang lain, dalam konteks kepartian politik dinegara kita, secara terangan ramai (walaupun bukan semua) pemimpin akan sentiasa terikut dengan prinsip-prinsip pemimpin yang lebih atasan biarpun pincang dan merosakkan. Mungkin faktor-faktor kelebihan material dan duniawi ataupun ketandusan pemikiran atau juga kemandulan keberanian. Hanya sedikit faktor kebenaran yang menjadi penyebab sokongan.

Faktor ini bukan sekadar dari penyokong penggubal dasar semata, dari konteks pembangkang pula, trend yang jelas ialah untuk mencari titik kelemahan dan perpecahan daripada kenyataan pimpinan kerajaan, sepertimana pendirian pembangkang, pimpinan kerajaan akan menindas idea-idea dengan bunga-bunga bahasa media yang busuk. Amat sedikit dan boleh jadi nadir benar mana-mana perbuatan dan kenyataan yang mencapai kosensus.

Amat menarik sekali apabila isu babi yang muncul di Selangor menjadi titik ukuran. Sebelum pilihanraya, isu babi ini mendapat dukungan penuh dari kerajaan dan seperti biasa pembangkang melakukan kerjanya, membangkang. Setelah kerajaan bertukar pimpinan, dukungan-dukungan 'pemerintah kelmarin' bertukar menjadi busuk umpama aroma tahi babi yang bertakung. Manakala, 'pembangkang kelmarin' (bukan semua nampaknya) terpaksa akur dengan keputusan pimpinan 'kerajaan kami' yang biarpun terpaksa bersamak dengan perasaan tidak setuju.

Dari sudut yang lain, isu yang menarik untuk dikaji, apabila bergerak individu dari satu parti kepada parti yang lain, segala sumpah seranah caci maki hamun ludah muntah hingus yang dihamburkan kepada 'rumah barunya' sedikit masa dahulu bertukar menjadi intan payung gurindah indah wangi semerbak intan berlian berkilau cahaya terang benderang. Asbab perpindahan itu biarpun bukan diatas dasar parti mungkin kerana perselisihan dengan pimpinan atasan yang cabul sahaja. Namun, demi memastikan survival politik diri, segala itu membentuk satu perasaan baru kebencian terhadap sistem parti yang kelmarin menjadi mahligai idamannya.

Begitu juga pimpinan-pimpinan yang sudah mengeluarkan dirinya dari kancah politik parti, biarpun segala sistem yang ada adalah hasil senibina dirinya, namun dengan segala kekuatan yang tersisa tanpa rasa bersalah meletakkan liabiliti kelemahan sistem kepada pimpinan baru yang lembik.

Pun begitu, tidak boleh berdiam diri berkenaan sikap musang berbulu ayam yang sentiasa wujud didalam politik tanah Ibunda. Bagi pimpinan nombor 2, tatkala menunggu peralihan kuasa kepadanya, maka dengan penuh sabar dan takzim segala apa yang nombor satu perbuatkan pasti akan disanjung dan dijulang sebagai benar-tepat-betul, dan dialah yang akan bermandi darah dan liur mempertahankan perbuatan itu dengan keris kontotnya.

Pabila nombor 2 menjadi kepala, akan terlepaslah topeng ayam betina dan terlihatlah seekor musang yang licik, lapar dan ghairah meratah selepas berpuasa berpuluhan tahun menjadi pak turut.

Inilah hakikat dan fakta kebenaran didalam politik tanah Ibunda, kebenaran hanya menjadi senjata popular untuk menikam lawan, jauh dari keikhlasan untuk memulangkan amanah yang dijanjikan kepada rakyat.

Edisi Permulaan..

Salam,

Ertinya selamat.. bukan SELAMATT! Sungguh perkatannya sama serupa, beza hanya antonasi ungkapan itu diluah sesungguhnya menunjukkan mood yang 180 darjah bezanya. Menjadi penulis blog sudah lama bermain dalam benak dan pemikiran penulis. Tambahan pula dengan rentetan babak politik yang hebat dibumi Ibunda selepas pemilihan umum PRU12 yang bersejarah baru-baru ini yang sedikit sebanyak menaikkan nama 'bloggers' ke suatu tahap kemuliaan seumpama kesatria perang.

Apapun kebenaran harus didulukan, baik dari keindahan susunan kata-kata puitis mahupun ideologi yang dijunjung. Bloggers bukanlah nabi yang maksum, bebas dari dosa, pengaruh nafsu dan selalunya bermotif menyampaikan ideologi pegangan, junjungan dan jarang benar digunakan sebagai alat mencari kebenaran yang wujud dalam terlalu banyak bentuk.

Ini menjadi cabaran kita. Kita bukanlah nujum yang mampu membaca pemikiran bloggers, jika dibawa teori konspirasi, hampir semua bloggers boleh di tempel sebagai mempunyai agenda politik masing-masing. Apa yang jelas agenda ini yang membentuk acuan aliran pemikiran pembaca blogger dengan secara subconcious. Sama ada pembentukan ini dibangunkan secara positif atau negatif, bergantung kepada karisma bloggers itu sendiri dan ideologi yang dipegangnya. Maksudnya disini, bloggers menulis untuk menemukan titik kebenarannya dengan titik pemikiran para pembaca, dan pembaca yang tidak matang, tanpa prinsip ideologi yang jelas sudah tentu akan menjadi sebahagian dari pendukung-pendukung yang diperlukan.

Politik tentunya satu perbualan yang seringkali memanaskan bangku-bangku plastik kopitiam, ahli mesyuarat dapur(selain dari bualan telenovela), sehingga ke tilam empuk pak menteri dan mak datin atau adik datin. Tua-muda-miskin-kaya-kerja swasta-kerja gomen-Pelajar IPTA-IPTS-Tok Sami-Paderi-Pak Imam-Petani Bela ikan-kambing -lembu sampai apek kandang babi. Semuanya minat pasal politik, terhad pada yang dah mumaiyyiz tentunya.

Jadi mungkin isu utama yang ingin dimainkan disini, namun pandangan yang diberikan nanti tidak akan terikat pada mana-mana aliran mahupun parti, kerana originaliti itu merupakan identiti yang perlu dipegang teguh sambil tidak menidakkan keperluan bersetuju dengan pandangan yang benar. Jadi penulis mencadangkan agar kebenaran menjadi kanji yang merekat perbezaan antara kita, keterbukaan terhadap pandangan dan penerimaan perbezaan dan suasana menghormati. Kebersatuan tidak hanya boleh digapai dengan angan-angan mahupun kesatuan yang dicantum oleh keinginan jangka pendek yang sama. Ia memerlukan teknik dan seni yang dipupuk melalui kepercayaan dan keikhlasan. Pun begitu, kebersatuan tidak pula sepatutnya menghalang pandangan yang berbeza. Inilah yang patut diwujudkan. Pemahaman antara kebenaran, pandangan, fakta dan populariti.