Rabu, April 23, 2008

Konsep kebenaran dalam politik

Sungguh menarik jika membincangkan konsep kebenaran dari sudut politik. Sesungguhnya manipulasi politik terbukti membawa karektor manusia dan kemanusiaan menghayati bentuk 'kebenaran' jauh daripada keikhlasan. Contoh yang terbesar apabila didalam sistem demokrasi sendiri. Sesungguhnya didalam demokrasi adalah rakyat yang memimpin rakyat, tetapi realitikah definasi ini?

Jika x=y sudah tentu nilai x-z=y-z. Namun sudah tentu logik matematik ini tidak boleh digunakan dalam berpolitik. Perkataan rakyat sama sekali tidak boleh digunakan secara berganti(interchangeably) dengan perkataan kerajaan, sungguhpun yang menjadi kerajaan itu adalah Pakatan Rakyat, apatah lagi Barisan Nasional. Bahkan perkataan kerajaan dengan parti politik itu juga mewakili 2 institusi berbeza biarpun parti politik itu yang memerintah. Didalam realiti tanah Ibunda kita ini merupakan sesuatu yang telah dimomokkan sebagai kebenaran. Mata penulis amat perit apabila terbaca papantanda projek "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional", yang jika dihujah menurut maksud mungkin kebenaran itu dapat diterima, tetapi kebenaran itu hanya bersifat politik, bukan secara hakikat. Ini secara terangan mencabul minda dan konsep kebenaran itu. Istilah kerajaan patut dipulangkan kuasanya kepada rakyat, bukan sekadar dinisbahkan kepartian yang memerintah.

Bahkan bukan setakat itu sahaja, kerana kebenaran itu bukanlah tertakluk kepada populariti, hukumnya sama jua, jika terdapat papantanda "Satu Lagi Projek Kerajaan Pas" atau PKR atau DAP. Ini merupakan tetap pencabulan yang jelas. Tidak perlu perasaan 'bias' dalam perkara ini. Inilah prinsip-prinsip yang perlu dipegang bagi pendukung kebenaran.

Dari segi aspek politik yang lain, dalam konteks kepartian politik dinegara kita, secara terangan ramai (walaupun bukan semua) pemimpin akan sentiasa terikut dengan prinsip-prinsip pemimpin yang lebih atasan biarpun pincang dan merosakkan. Mungkin faktor-faktor kelebihan material dan duniawi ataupun ketandusan pemikiran atau juga kemandulan keberanian. Hanya sedikit faktor kebenaran yang menjadi penyebab sokongan.

Faktor ini bukan sekadar dari penyokong penggubal dasar semata, dari konteks pembangkang pula, trend yang jelas ialah untuk mencari titik kelemahan dan perpecahan daripada kenyataan pimpinan kerajaan, sepertimana pendirian pembangkang, pimpinan kerajaan akan menindas idea-idea dengan bunga-bunga bahasa media yang busuk. Amat sedikit dan boleh jadi nadir benar mana-mana perbuatan dan kenyataan yang mencapai kosensus.

Amat menarik sekali apabila isu babi yang muncul di Selangor menjadi titik ukuran. Sebelum pilihanraya, isu babi ini mendapat dukungan penuh dari kerajaan dan seperti biasa pembangkang melakukan kerjanya, membangkang. Setelah kerajaan bertukar pimpinan, dukungan-dukungan 'pemerintah kelmarin' bertukar menjadi busuk umpama aroma tahi babi yang bertakung. Manakala, 'pembangkang kelmarin' (bukan semua nampaknya) terpaksa akur dengan keputusan pimpinan 'kerajaan kami' yang biarpun terpaksa bersamak dengan perasaan tidak setuju.

Dari sudut yang lain, isu yang menarik untuk dikaji, apabila bergerak individu dari satu parti kepada parti yang lain, segala sumpah seranah caci maki hamun ludah muntah hingus yang dihamburkan kepada 'rumah barunya' sedikit masa dahulu bertukar menjadi intan payung gurindah indah wangi semerbak intan berlian berkilau cahaya terang benderang. Asbab perpindahan itu biarpun bukan diatas dasar parti mungkin kerana perselisihan dengan pimpinan atasan yang cabul sahaja. Namun, demi memastikan survival politik diri, segala itu membentuk satu perasaan baru kebencian terhadap sistem parti yang kelmarin menjadi mahligai idamannya.

Begitu juga pimpinan-pimpinan yang sudah mengeluarkan dirinya dari kancah politik parti, biarpun segala sistem yang ada adalah hasil senibina dirinya, namun dengan segala kekuatan yang tersisa tanpa rasa bersalah meletakkan liabiliti kelemahan sistem kepada pimpinan baru yang lembik.

Pun begitu, tidak boleh berdiam diri berkenaan sikap musang berbulu ayam yang sentiasa wujud didalam politik tanah Ibunda. Bagi pimpinan nombor 2, tatkala menunggu peralihan kuasa kepadanya, maka dengan penuh sabar dan takzim segala apa yang nombor satu perbuatkan pasti akan disanjung dan dijulang sebagai benar-tepat-betul, dan dialah yang akan bermandi darah dan liur mempertahankan perbuatan itu dengan keris kontotnya.

Pabila nombor 2 menjadi kepala, akan terlepaslah topeng ayam betina dan terlihatlah seekor musang yang licik, lapar dan ghairah meratah selepas berpuasa berpuluhan tahun menjadi pak turut.

Inilah hakikat dan fakta kebenaran didalam politik tanah Ibunda, kebenaran hanya menjadi senjata popular untuk menikam lawan, jauh dari keikhlasan untuk memulangkan amanah yang dijanjikan kepada rakyat.

Tiada ulasan: