Rabu, April 23, 2008

Edisi Permulaan..

Salam,

Ertinya selamat.. bukan SELAMATT! Sungguh perkatannya sama serupa, beza hanya antonasi ungkapan itu diluah sesungguhnya menunjukkan mood yang 180 darjah bezanya. Menjadi penulis blog sudah lama bermain dalam benak dan pemikiran penulis. Tambahan pula dengan rentetan babak politik yang hebat dibumi Ibunda selepas pemilihan umum PRU12 yang bersejarah baru-baru ini yang sedikit sebanyak menaikkan nama 'bloggers' ke suatu tahap kemuliaan seumpama kesatria perang.

Apapun kebenaran harus didulukan, baik dari keindahan susunan kata-kata puitis mahupun ideologi yang dijunjung. Bloggers bukanlah nabi yang maksum, bebas dari dosa, pengaruh nafsu dan selalunya bermotif menyampaikan ideologi pegangan, junjungan dan jarang benar digunakan sebagai alat mencari kebenaran yang wujud dalam terlalu banyak bentuk.

Ini menjadi cabaran kita. Kita bukanlah nujum yang mampu membaca pemikiran bloggers, jika dibawa teori konspirasi, hampir semua bloggers boleh di tempel sebagai mempunyai agenda politik masing-masing. Apa yang jelas agenda ini yang membentuk acuan aliran pemikiran pembaca blogger dengan secara subconcious. Sama ada pembentukan ini dibangunkan secara positif atau negatif, bergantung kepada karisma bloggers itu sendiri dan ideologi yang dipegangnya. Maksudnya disini, bloggers menulis untuk menemukan titik kebenarannya dengan titik pemikiran para pembaca, dan pembaca yang tidak matang, tanpa prinsip ideologi yang jelas sudah tentu akan menjadi sebahagian dari pendukung-pendukung yang diperlukan.

Politik tentunya satu perbualan yang seringkali memanaskan bangku-bangku plastik kopitiam, ahli mesyuarat dapur(selain dari bualan telenovela), sehingga ke tilam empuk pak menteri dan mak datin atau adik datin. Tua-muda-miskin-kaya-kerja swasta-kerja gomen-Pelajar IPTA-IPTS-Tok Sami-Paderi-Pak Imam-Petani Bela ikan-kambing -lembu sampai apek kandang babi. Semuanya minat pasal politik, terhad pada yang dah mumaiyyiz tentunya.

Jadi mungkin isu utama yang ingin dimainkan disini, namun pandangan yang diberikan nanti tidak akan terikat pada mana-mana aliran mahupun parti, kerana originaliti itu merupakan identiti yang perlu dipegang teguh sambil tidak menidakkan keperluan bersetuju dengan pandangan yang benar. Jadi penulis mencadangkan agar kebenaran menjadi kanji yang merekat perbezaan antara kita, keterbukaan terhadap pandangan dan penerimaan perbezaan dan suasana menghormati. Kebersatuan tidak hanya boleh digapai dengan angan-angan mahupun kesatuan yang dicantum oleh keinginan jangka pendek yang sama. Ia memerlukan teknik dan seni yang dipupuk melalui kepercayaan dan keikhlasan. Pun begitu, kebersatuan tidak pula sepatutnya menghalang pandangan yang berbeza. Inilah yang patut diwujudkan. Pemahaman antara kebenaran, pandangan, fakta dan populariti.

Tiada ulasan: