Khamis, April 24, 2008

Musang Berbulu Ayam

Rata-rata rakyat umum memahami dan sesetengahnya menerima dengan rela apabila ahli-ahli politik bersikap 'double standard'. Inilah kancah politik, hari ini kawan, esok bermusuh, kelmarin setuju sekarang membangkang, selepas itu sokong balik. Inilah mentaliti politik yang membelakangkan prinsip perjuangan berasaskan kebenaran.

Mengapa perlunya bertukar pandangan? Apakah yang membezakan diantara lompat sikatak atau belalang atau lalang dengan ahli prinsip?


Sudah tentu didalam proses belajar melalui pengalaman, tidak dapat tidak untuk kita menukar prinsip yang berat kita dukung dan anuti apabila datang suatu ilmu dan cahaya dihati yang direstui oleh minda yang sihat. Ini adalah satu proses terpuji yang menandakan wujudnya perkembangan emosi dan intelektual bagi seseorang. Sebagai contoh, sesetengahnya bermula dari PAS, kemudian dengan ilmunya merasakan UMNO adalah terbaik dan kemudiannya bertukar kepada PKR setelah masak dengan permainan UMNO dan kembali kepada PAS seterusnya dengan memikirkan limit ideologi yang dibawa membuat keputusan untuk membebaskan diri dari politik kepartian kepada politik kebenaran. Ini adalah sebahagian daripada proses kematangan minda dan sikap berpolitik setiap individu. Faktor yang mempengaruhinya mungkin berbeza membawa kepada penghijrahan yang sama, tetapi mungkin juga faktor yang sama tetapi membawa kepada penghijrahan yang kepada kem yang berbeza.


Namun, apa yang lebih jelas sekarang adalah sikap kebanyakan ahli-ahli politik pemerintah mahupun pembangkang yang bersikap loyalist dan populist yang melampau.


Dikalangan ahli politik, sikap musang berbulu ayam adalah lumrah, demi menarik undi, sokongan mahupun jawatan ( yang jelas untuk kepentingan peribadi), apa sahaja tindakan, kenyataan mahupun strategi yang di lakukan mestilah dengan percaturan bijak iaitu 'do whatever it takes to guarantee my (or my ideas) survival'. Antara taktik popular ialah mengikut mood dan kecenderungan 'vocal factor' ( faham popular rakyat yang menyuarakan pandangan).

Antara taktik dan strategi yang lain ialah menjadi loyalist kepada 'kepala tahi' bak kata Ayahanda Shahnon Ahmad.

Kedua-dua strategi dan taktik ini, boleh dengan jelas dilihat dipihak pemerintah dan pembangkang. yakinlah, dengan wujudnya krisis post-PRU12, satu lembaran baru politik tanahair, dimana baik pemerintah dan pembangkang perlu sedar, yang faham populist dan loyalist bukanlah penyelamat kepada karier politik kalian.

Ayuh Rakyat yang DIAM! Kamu harus bersuara. Jangan biarkan musang-musang politik menyambar dan meragut hak dan kebebasan yang dibeli dengan keringat, airmata dan darah. Bumi ini bumi merdeka, tanah ini tanah pusaka. Warisnya insan beradab, bukan si musang biadap.

Biar siapapun mereka yang memerintah, dengar kamu ingatlah.. Anak bumi Ibunda yang diam tidak selamanya diam. Kami lihat, kami dengar.. kami fikir dan tenung. Jika kamu berasa kamu berkuasa.. INGAT, kami yang memberikan kuasa! Dan cuaca tak selalunya cerah, si musang!

Rabu, April 23, 2008

Konsep kebenaran dalam politik

Sungguh menarik jika membincangkan konsep kebenaran dari sudut politik. Sesungguhnya manipulasi politik terbukti membawa karektor manusia dan kemanusiaan menghayati bentuk 'kebenaran' jauh daripada keikhlasan. Contoh yang terbesar apabila didalam sistem demokrasi sendiri. Sesungguhnya didalam demokrasi adalah rakyat yang memimpin rakyat, tetapi realitikah definasi ini?

Jika x=y sudah tentu nilai x-z=y-z. Namun sudah tentu logik matematik ini tidak boleh digunakan dalam berpolitik. Perkataan rakyat sama sekali tidak boleh digunakan secara berganti(interchangeably) dengan perkataan kerajaan, sungguhpun yang menjadi kerajaan itu adalah Pakatan Rakyat, apatah lagi Barisan Nasional. Bahkan perkataan kerajaan dengan parti politik itu juga mewakili 2 institusi berbeza biarpun parti politik itu yang memerintah. Didalam realiti tanah Ibunda kita ini merupakan sesuatu yang telah dimomokkan sebagai kebenaran. Mata penulis amat perit apabila terbaca papantanda projek "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional", yang jika dihujah menurut maksud mungkin kebenaran itu dapat diterima, tetapi kebenaran itu hanya bersifat politik, bukan secara hakikat. Ini secara terangan mencabul minda dan konsep kebenaran itu. Istilah kerajaan patut dipulangkan kuasanya kepada rakyat, bukan sekadar dinisbahkan kepartian yang memerintah.

Bahkan bukan setakat itu sahaja, kerana kebenaran itu bukanlah tertakluk kepada populariti, hukumnya sama jua, jika terdapat papantanda "Satu Lagi Projek Kerajaan Pas" atau PKR atau DAP. Ini merupakan tetap pencabulan yang jelas. Tidak perlu perasaan 'bias' dalam perkara ini. Inilah prinsip-prinsip yang perlu dipegang bagi pendukung kebenaran.

Dari segi aspek politik yang lain, dalam konteks kepartian politik dinegara kita, secara terangan ramai (walaupun bukan semua) pemimpin akan sentiasa terikut dengan prinsip-prinsip pemimpin yang lebih atasan biarpun pincang dan merosakkan. Mungkin faktor-faktor kelebihan material dan duniawi ataupun ketandusan pemikiran atau juga kemandulan keberanian. Hanya sedikit faktor kebenaran yang menjadi penyebab sokongan.

Faktor ini bukan sekadar dari penyokong penggubal dasar semata, dari konteks pembangkang pula, trend yang jelas ialah untuk mencari titik kelemahan dan perpecahan daripada kenyataan pimpinan kerajaan, sepertimana pendirian pembangkang, pimpinan kerajaan akan menindas idea-idea dengan bunga-bunga bahasa media yang busuk. Amat sedikit dan boleh jadi nadir benar mana-mana perbuatan dan kenyataan yang mencapai kosensus.

Amat menarik sekali apabila isu babi yang muncul di Selangor menjadi titik ukuran. Sebelum pilihanraya, isu babi ini mendapat dukungan penuh dari kerajaan dan seperti biasa pembangkang melakukan kerjanya, membangkang. Setelah kerajaan bertukar pimpinan, dukungan-dukungan 'pemerintah kelmarin' bertukar menjadi busuk umpama aroma tahi babi yang bertakung. Manakala, 'pembangkang kelmarin' (bukan semua nampaknya) terpaksa akur dengan keputusan pimpinan 'kerajaan kami' yang biarpun terpaksa bersamak dengan perasaan tidak setuju.

Dari sudut yang lain, isu yang menarik untuk dikaji, apabila bergerak individu dari satu parti kepada parti yang lain, segala sumpah seranah caci maki hamun ludah muntah hingus yang dihamburkan kepada 'rumah barunya' sedikit masa dahulu bertukar menjadi intan payung gurindah indah wangi semerbak intan berlian berkilau cahaya terang benderang. Asbab perpindahan itu biarpun bukan diatas dasar parti mungkin kerana perselisihan dengan pimpinan atasan yang cabul sahaja. Namun, demi memastikan survival politik diri, segala itu membentuk satu perasaan baru kebencian terhadap sistem parti yang kelmarin menjadi mahligai idamannya.

Begitu juga pimpinan-pimpinan yang sudah mengeluarkan dirinya dari kancah politik parti, biarpun segala sistem yang ada adalah hasil senibina dirinya, namun dengan segala kekuatan yang tersisa tanpa rasa bersalah meletakkan liabiliti kelemahan sistem kepada pimpinan baru yang lembik.

Pun begitu, tidak boleh berdiam diri berkenaan sikap musang berbulu ayam yang sentiasa wujud didalam politik tanah Ibunda. Bagi pimpinan nombor 2, tatkala menunggu peralihan kuasa kepadanya, maka dengan penuh sabar dan takzim segala apa yang nombor satu perbuatkan pasti akan disanjung dan dijulang sebagai benar-tepat-betul, dan dialah yang akan bermandi darah dan liur mempertahankan perbuatan itu dengan keris kontotnya.

Pabila nombor 2 menjadi kepala, akan terlepaslah topeng ayam betina dan terlihatlah seekor musang yang licik, lapar dan ghairah meratah selepas berpuasa berpuluhan tahun menjadi pak turut.

Inilah hakikat dan fakta kebenaran didalam politik tanah Ibunda, kebenaran hanya menjadi senjata popular untuk menikam lawan, jauh dari keikhlasan untuk memulangkan amanah yang dijanjikan kepada rakyat.

Edisi Permulaan..

Salam,

Ertinya selamat.. bukan SELAMATT! Sungguh perkatannya sama serupa, beza hanya antonasi ungkapan itu diluah sesungguhnya menunjukkan mood yang 180 darjah bezanya. Menjadi penulis blog sudah lama bermain dalam benak dan pemikiran penulis. Tambahan pula dengan rentetan babak politik yang hebat dibumi Ibunda selepas pemilihan umum PRU12 yang bersejarah baru-baru ini yang sedikit sebanyak menaikkan nama 'bloggers' ke suatu tahap kemuliaan seumpama kesatria perang.

Apapun kebenaran harus didulukan, baik dari keindahan susunan kata-kata puitis mahupun ideologi yang dijunjung. Bloggers bukanlah nabi yang maksum, bebas dari dosa, pengaruh nafsu dan selalunya bermotif menyampaikan ideologi pegangan, junjungan dan jarang benar digunakan sebagai alat mencari kebenaran yang wujud dalam terlalu banyak bentuk.

Ini menjadi cabaran kita. Kita bukanlah nujum yang mampu membaca pemikiran bloggers, jika dibawa teori konspirasi, hampir semua bloggers boleh di tempel sebagai mempunyai agenda politik masing-masing. Apa yang jelas agenda ini yang membentuk acuan aliran pemikiran pembaca blogger dengan secara subconcious. Sama ada pembentukan ini dibangunkan secara positif atau negatif, bergantung kepada karisma bloggers itu sendiri dan ideologi yang dipegangnya. Maksudnya disini, bloggers menulis untuk menemukan titik kebenarannya dengan titik pemikiran para pembaca, dan pembaca yang tidak matang, tanpa prinsip ideologi yang jelas sudah tentu akan menjadi sebahagian dari pendukung-pendukung yang diperlukan.

Politik tentunya satu perbualan yang seringkali memanaskan bangku-bangku plastik kopitiam, ahli mesyuarat dapur(selain dari bualan telenovela), sehingga ke tilam empuk pak menteri dan mak datin atau adik datin. Tua-muda-miskin-kaya-kerja swasta-kerja gomen-Pelajar IPTA-IPTS-Tok Sami-Paderi-Pak Imam-Petani Bela ikan-kambing -lembu sampai apek kandang babi. Semuanya minat pasal politik, terhad pada yang dah mumaiyyiz tentunya.

Jadi mungkin isu utama yang ingin dimainkan disini, namun pandangan yang diberikan nanti tidak akan terikat pada mana-mana aliran mahupun parti, kerana originaliti itu merupakan identiti yang perlu dipegang teguh sambil tidak menidakkan keperluan bersetuju dengan pandangan yang benar. Jadi penulis mencadangkan agar kebenaran menjadi kanji yang merekat perbezaan antara kita, keterbukaan terhadap pandangan dan penerimaan perbezaan dan suasana menghormati. Kebersatuan tidak hanya boleh digapai dengan angan-angan mahupun kesatuan yang dicantum oleh keinginan jangka pendek yang sama. Ia memerlukan teknik dan seni yang dipupuk melalui kepercayaan dan keikhlasan. Pun begitu, kebersatuan tidak pula sepatutnya menghalang pandangan yang berbeza. Inilah yang patut diwujudkan. Pemahaman antara kebenaran, pandangan, fakta dan populariti.