Rabu, Oktober 08, 2008

Anwar telah berjaya?

Sungguh?? DS Anwar Ibrahim seorang yang sangat berkarisma dan mempunyai impak tersendiri terhadap persekitaran politik dan sosial Malaysia, baik ketika menjadi pepimpin pelajar, pemimpin ABIM, Pak Menteri, Pak Timbalan Perdana Menteri, Pak Pembangkang.. Jasanya juga amat banyak pada mereka yang cinta dan kasih padanya, baik ketika demonstrasi hal murahnya harga getah di Baling, kesedaran tentang aurat, perihal gerakan islam ala ikhwan ketika menjadi pemimpin ABIM dan pelajar, perihal melayu baku, masyarakat madani, hinggakan pemberian RM 5000 melalui ASB kepada orang-orang miskin ketika menjadi pak menteri, semuanya menjadi tanda akan hebatnya insan bernama DS Anwar ini, kata mereka!

Dan pada sesetengahnya, inilah orangnya yang telah berjaya dan satu-satunya manusia yang akan berjaya untuk memimpin Malaysia. Kita dapat lihat sentimen ini melampaui 'kenegrian', 'kesukuan', 'keagamaan' dan 'perkauman'.

Secara dasarnya, saya bersetuju bahawa DS Anwar Ibrahim merupakan seorang (atau satu-satunya) pemimpin yang 'berjaya menyatukan' beberapa parti barisan pembangkang bagi menggapai satu 'tujuan umum', ini merupakan satu kejayaan besar didalam konteks politik negara, memandangkan perhubungan diantara parti-parti pembangkang yang diibarat 'ibarat kucing dengan anjing' selama ini. Kehadiran DS Anwar melalui wadah PKR membawa angin neutral yang men'yepoi' wajah-wajah DAP dan PAS sehingga mampu tersenyum, lagi memberi pengharapan baru.

Sungguhpun begitu, kejayaan sebegini tidak bersifat mutlak dan hanya pemula langkah bagi dilema yang lebih besar dan pokok yang cuba disembunyikan 'tangan-tangan yang berkepentingan'. Seharusnya, kita perlu segera sedar disebalik 'gula-gula' negara berkebajikan, apa pula harga yang kita terpaksa 'bayar' sebagai rakyat demi 'janji-janji' diantara PKR-DAP-PAS?

Sebaiknya, kita mengkaji dari sudut ideologi dan prinsip yang dibawa oleh PKR-DAP-PAS, dan menilai akan potensi Pakatan memerintah negara. Semua sedar angin yang dibawa oleh PKR yang bercampur baur ideologinya, namun lebih dekat dengan DAP dari segi prinsip pemerintahan, namun memandangkan ketokohan DS Anwar Ibrahim yang pernah menerajui 'harakah islamiyyah', sedikit sebanyak 'erdogan' didalam PAS yang rasa terhutang budi lagi mengharap dan kasih cinta padanya akan mentala perjuangan masing-masing supaya selari dengan keinginan politik DS Anwar. Sungguhpun demikian, apakah kerajaan yang dibina diatas 'tujuan umum' yang sama sahaja mampu bertahan dan menjadi stabil?

Pandangan saya berat menyatakan, usaha menyembunyikan perbezaan prinsip dalam PKR-DAP-PAS merupakan satu usaha jangka pendek bagi mengutamakan tujuan mem'PM'kan Anwar, pun begitu usaha ini tidak dikongsi secara ghairah bagi semua pihak, terutama dikalangan 'konservative' didalam PAS, yang jelas sedang sedang 'diperangi' bermati-matian oleh puak-puak erdogan.

Kini, pada perkiraan saya, DS Anwar merupakan seorang yang sangat berjaya didalam beberapa hal tertentu;

  • Beliau berjaya, dalam politik 'membersamakan' kepelbagaian ideologi berbeza untuk mencapai satu tujuan, didalam konteks ini ialah untuk menjatuhkan BN. Ramai yang berkongsi sentimen untuk menjatuh BN, namun, tidak ramai yang mempunyai alternatif sekukuh kerajaan BN, jadi walaupun apabila kerajaan BN berjaya dijatuhkan, ia hanya akan mewujudkan 'power vacumn', atau setidak-tidaknya kerajaan campuran yang tidak stabil.

  • Beliau berjaya, memberi keberanian kepada minoriti kaum mahupun agama untuk melanggar taboo-taboo yang tidak tertulis. Kejayaan ini, sungguhpun kelihatan positif, namun membangkitkan semangat kebangsaan bagi setiap kaum di Malaysia, dan membawa kepada 'self centered attitude', langsung boleh membawa kepada ketegangan jika dimanipulasi oleh kerajaan dan pembangkang melalui media.
  • Beliau berjaya, memangkin perubahan didalam dasar-dasar kerajaan untuk lebih bersifat dan bersikap nasional. Secara positifnya, kerajaan BN tertekan dan akur dengan kehendak perubahan, cuma pelaksanaan yang tergopoh-gapah memberikan 'impression' bahawa kerajaan bersikap populist, memberikan kelebihan buat Anwar.
  • Beliau berjaya, memberikan 'ancaman' dan saingan kepada parti-parti perkauman langsung menjadikan mereka mengutamakan kehendak kaum sendiri dek takut kehilangan sokongan. Langsung ini melemahkan BN secara langsung dan PAS dan DAP secara tidak langsung.
  • Beliau berjaya, mewujudkan golongan yang memberontak, daripada nilai-nilai klasik. Ini menjadikan PAS dan DAP kehilangan golongan pertengahan mereka yang lebih tertarik dengan idealistik DS Anwar.

  • Beliau berjaya, dalam membentuk golongan yang taksub menyintainya, dan bergantung harap hanya kepadanya untuk menjatuhkan BN dan mengharapkannya memimpin negara kepada kemuncak kemakmuran. Ini menjamin kesinambungan dinasti politik keluarganya, sudah tentu Nurul Izzah bakal menjadi PM Wanita pertama Malaysia akan berjaya dicapai, dan menjadi seperti lagenda Benazir Bhutto.

  • Beliau berjaya, dalam sudut tertentu membuatkan wujud 2 pihak bertelagah didalam satu satu parti, sehinggakan ahli parti itu mengutamakan kehendak DS Anwar berbanding kehendak pemimpin utama parti itu sendiri. Ini adalah kesan negatif yang paling besar sekali, secara langsung menggoncang kestabilan sesebuah parti politik dan mewujudkan satu sayap asing dengan set-set matlamat tersendiri. Ramai yang menjangka berlaku perselisihan ketara sehingga tahap berpecah, namun, apa yang jelas kedua-dua kem ini akan berselisih selagi DS Anwar menjadi 'wali' kepada golongan erdogan.
Memang terdapat unsur-unsur positif berkenaan dengan angin perubahan yang dibawa oleh DS Anwar, sesiapa pun tidak dapat menafikannya. Namun, kita perlu melihat beberapa langkah kehadapan dengan sentimen yang ada ketika ini untuk mengkaji apakah 'risiko' yang bakal ditanggung oleh rakyat dan negara disebalik beberapa kejayaan yang sudah kelihatan.

Arus politik 'baru' ini memberikan 'one-way portal' kepada pendukungnya, antara contoh situasi yang boleh berlaku adalah perletakkan 'ground stone' terhadap perubahan pada Perlembagaan berkenaan dengan keistimewaan Melayu dan daulah Islam. Ini merupakan fasa kritikal kerana kesannya 'irreversible', jika dimasuki secara gopoh, tanpa memikirkan secara tulus akan kebolehan rakyat untuk menerima kesannya, maka political fragility akan membawa negara ini kekancah kerajaan campuran yang bertukar-tukar. Sudah tentunya, perancangan dan perkembangan ekonomi Malaysia yang tidak sekukuh Jepun akan menerima kesan segera serta jangka panjang. Boleh diumpamakan perkara ini seperti kestabilan dizaman zalim Saddam dan kekecohan dizaman 'adil' Amerika di Iraq.

Selain itu, berdasarkan 'ketunggalan' karisma yang hanya menjuruskan tumpuan kepada DS Anwar semata-mata menjadikan 'ketaksuban' kepada pemimpin sebagai asas penyatuan diantara parti-parti berlainan ideologi, membawa kepada kemungkinan paling tinggi untuk 'marriage of convinence' ini berderai apabila berlaku persilisihan prinsip atau ketika kehilangan tokoh penyatuan itu, paling tidak, akan mewujudkan dinasti pemerintahan politik seperti yang telah berlaku didalam BN, yang sudah tentunya menyuburkan kronisme dan nepotisme.

Cuma, rasanya akan berlaku kekecewaan besar-besaran dikalangan 'erdogan' dari PAS yang mendewakan DS Anwar dan meletakkan harapan telalu besar kepada beliau. Ini jelas dengan tindak-tanduk DS Anwar yang lebih akur kepada tekanan puak sosialis dan liberal didalam kelompok PKR untuk lebih bersikap 'terbuka' dan sekular dan telah terbukti didalam kes Bar Council vs MP PKR Zulkifli Nordin. Diatas dasar inilah, PKR berupaya mendapat sokongan DAP, dan hanya dengan karisma Anwar dan jasanya terhadap haraki, sokongan daripada PAS berjaya diraih.

Sungguhpun demikian, ini adalah merupakan satu pandangan yang terselit dengan 'assumptions' dan sedikit nujuman. Sudah tentu tidak boleh disandarkan sebagai fakta, cuma boleh dijadikan pandangan ini sebagai satu usaha untuk berhati-hati dan agar tidak tertipu dengan kepelbagaian wajah politik Malaysia.

Tiada ulasan: